Monday, October 17, 2011

5. NAFSU RADHIAH

Setelah menduduki martabat mutmainnah dan kegigihan seseorang itu melatih diri untuk memakrifatkan dirinya kepada Allah SWT, maka orang yang berkenaan akan berjaya pula menduduki makam nafsu radhiah. Dalam peringkat kesucian nafsu ini, akan lahirlah pada diri seseorang itu sifat-sifat mahmudah iaitu sifat terpuji dan mulia dan ia diredhai sepenuhnya oleh Allah SWT.

Sesungguhnya setiap perlakuan orang-orang radhiah biasanya berlandaskan kepada pengetahuan laduni yang diterimanya menerusi sirrusir, setiap perlakuan hariannya dikawal langsung oleh laduni yang bertindak secara spontan memberitahu maklumat yang sebenar kepada dirinya dalam melayari bahtera kehidupannya. Diri orang radhiah sering diingatkan oleh laduni, dirinya diasuh di bawah perlindungan Allah SWT. Mereka akan diberitahu dengan jelas tentang apa yang sedang berlaku, telah berlaku dan akan berlaku bagi bermaksud membolehkan mereka membuat panduan terhadap apa yang diketahuinya.

“Takutilah akan firasat orang mukmin, bahawasanya orang-orang mukmin itu melihat dengan nur Allah 9petunjuk Allah SWT)”. Hadis Riwayat Tarmizi.

Bagi mereka yang berjiwa radhiah, mereka melihat sesuatu menerusi basyirahnya, dia merenung sesuatu menerusi kasyafnya dan tidak bertindak secara melulu tanpa mendapat laduni atau sering di panggil “perintah ilmu”. Dan sesuangguhnya mereka dalam perlakuannya teramat halus. Setiap kelakuannya mengandungi simbolik, kata-katanya simbolik. Segalanya tersirat disebalik yang tersurat.

Setiap patah yang terucap dari lidahnya benar-benar “menjadi”. Pendek kata doa orang radhiah mencapai satu tahap dan makam yang dikatakan sebagai, “barang pinta barang boleh, barang kehendak barang jadi”. Mata cerah, telinga tulus.

“Dan jadikanlah ia di sisi Tuhan seorang yang radhiah (yang diredhai)” (Maryam: 6).

Orang-orang radhiah tidak pernah menonjolkan sifat sombong dengan kelebihan yang dimiliki olehnya. Semua kelebihan yang diperolehinya diserahkan kemabali kepada Allah SWT. Malah mereka menganggapkan diri mereka tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Tiada suatu haknya yang harus dibanggakan kecuali segalanya adalah hak Allah SWT termasuk dirinya sendiri. Mereka redha sepenuhnya terhadap apa yang menimpa diri mereka di mana di tahap ini mereka benar-benar berpegang dengan suatu konsep yang diabadikan oleh Allah SWT dalam firmanNya:

“Katakanlah (yakin dan berpeganglah) sekali-kali tiada yang menimpa kami kecuali apa yang telah disuratkan kepada kami.” (At-Taubah: 51)

“........ Allah redha kepada orang-orang yang redha dan mereka pun redha kepada Tuhannya........” (Al-Bayyinah: 8).

Pada tahap radhiah ini mereka telah dapat pengertian yang hakiki persoalan hak dan batil, persoalan qadim dan mahdah serta persoalan khalak dan khalik.

“...... Tidak ada tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa, kecuali zatNya........” (Al-’Ankabuut: 88)

” Kamu tiada menghendaki (sesuatu), kecuali kalau dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam” (At-Takwiir: 29)

Dengan yang demikian terbentuknya suatu keyakinan di makam haqqul-yakin yang membuahkan keredhaan dirinya terhadap sesuatu. Mereka yang berada dalam nafsu radhiah akan mengalami fana qalbi yang teramat kuat bagai gelora musim tengkujuh. Di peringkat ini mulut seseorang itu sering di mana perkataan dan ucapan dari mulutnya kadang-kadang menyinggung perasaan dan pemahaman syariat, kata-katanya teramat tajam yang kadang-kadang terkeluar tanpa disedarinya bahawa ucapannya itutelah menyakiti dan menyinggung pemahaman orang lain. Pandangannya bagaikan terapung-apung. Apa yang mereka nampak hanya wajah Allah semata-mata. Kalau disimpulkan, pandanglah yang banyak pada yang satu.

”Di mana saja kamu menghadap, maka di situlah wajah Allah” (Al-Baqarah: 115)

Dalam keadaan fana sebeginilah perangai-perangai normal kemanusiaan, tatasusila peradaban bermasyarakat kadang-kadang dicerobohi dan hilang pada dirinya yang akhirnya membuahkan sebilangan kecil orang-orang radhiah terhumban ke makam zahid.

Sesungguhnya keadaan orang radhiah yang mengalami zahid secara sepintas lalu dilihat dari iras pakaiannya, seoalh-olah bagai orang tak siuman, perangainya menjadi terlampau aneh dan membinggungkan sehingga ada dikalangan tertentu yang tidak dapat mengenali siapakah orang itu, disangkakan dengan suatu tudhan bagai orang yang ’kurang ukuran (tiga suku). Namun begitu bagi orang radhiah yang mengalami zahid ini, mereka tidak menghiraukan entah apa pun gelaran yang diberikan oleh masyarakat kepadanya. Bagi mereka, ”apalah yang ada pada rupa, kalau hati busuk. Pakaian cantik pun neraka jua tempatnya. Biarlah tuhan yang menentukan diri ku. Apakah kaca terbuang atau intan berlian...” pendek kata, mereka tidak memperdulikan telatah orang padanya malahan mereka senang dengan keadaan sebegitu. Sebenarnya bagi mereka, ”berat mata memandang, ringan pula bagi orang yang memikul.”

”Berkat nikmat Tuhanmu, bukan sekali-kali kamu tergolong di kalangan orang yang gila” (Al-Qalam: 2)

Zikir orang-orang radhiah bukan sahaja di sebut dilidahnya akan tetapi kebanyakan zikirnya adalah ternyata secara ”khafi” zikirnya terjun jauh ke lubuk hati menghancurkan setiap cebisan darah ghaib hitam ke dasar sanubarinya. Zikirnya telah meliputi seluruh anggota zahir dan anggota batinnya. Malahan di peringkat ini ketahuilah bahawa kulitnya berzikir, dagingnya berzikir, darahnya berzikir, lemaknya berzikir, tulangnya berzikir, urat nadinya berzikir, pendek kata seluruh yang ada pada dirinya sejak di hujung rambut sampailah ke hujung kuku, semuanya berzikir. Sesungguhnya gerakan zikir sebeginilah berlaku beriringan dan serentak dengan zikir nafas dirinya yang tidak mengenal masa penghujung dalam keadaan penuh kusyuk dan tawaduk merendah diri dari Tuhannya.

”Berzikirlah pada Tuhanmu di dalam hatimu dalam keadaan merendah diri dan rasa takut ..........” (Al-Anfaal: 205).

1 comments:

Kyz on November 18, 2015 at 12:39 AM said...

Assalamualaikum saudara, smg Allah memberi sebaik baik pahala buat saudara. Terima kasih atas penerangan di atas. Sy ada sedikit pembetulan ttg surah yg saudara kemukakan, bukan surah al-anfaal tetapi surah al-a'raf. Ayatnya betul.

Post a Comment

 
samah50 Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template