Monday, October 17, 2011

1. NAFSU AMARAH

Sesungguhnya penyakit kekotoran hati inilah sebenarnya yang membuahkan sifat perlakuan Mazmumah yang bersultan di mata dan beraja di hati. Adapun sifat Mazmumah yang dimaksudkan ialah sifat-sifat perlakuan yang benar-benar dikeji oleh Allah dan RasulNya, seperti perbuatan dengki, khianat, takabur, angkuh, irihati, riak, ujub dan sebagainya. Pendek kata seluruh perlakuan nafsu amarah adalah mengarahkan manusia kepada suatu yang dimurkai oleh Allah dan RasulNya. Sebab itulah Allah SWT telah menegaskan dengan firmanNya:

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Yusuf:53)

Dan firmanNya lagi:

“(Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga ia tidak mengakui adanya hari kiamat).” (Al-Qiyaamah:5)

Didalam perlakuan harian, manusia yang dikuasai oleh amarah akan bertindak mengikut suka mereka tanpa mengambilkira persoalan hubungkait diri mereka dengan Allah SWT, tanpa berpandukan garis-garis norma yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Mereka sebenarnya bertuhankan nafsu jahat, merajakan amarah dalam diri mereka. Hakikat inilah yang difirmankan oleh Allah SWT dalam al-quran:

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” (Al-Jaatsiyah:23)

Dalam meneruskan hidup seharian orang yang dikuasai oleh amarah mereka merasai segala perbuatan mereka adalah baik-baik belaka, tidak ada yang jahat meskipun mereka telah melakukan perbuatan yang keji dan maksiat. Mereka sebenarnya tidak sedar yang mereka telah melakukan jenayah kepada Allah SWT dan RasulNya.

Sesungguhnya pada peringkat amarah ini, seseorang manusia tanpa sedar dirinya itu telah dikuasai oleh iblis dan syaitan. Seluruh dirinya telah ditakluk oleh musuh Allah itu, matanya telah dikuasai oleh syaitan, telinganya telah dikuasi oleh syaitan, otaknya telah dikuasai oleh syaitan, fikirannya telah dikuasai oleh syaitan, hatinya telah dikuasai oleh syaitan. Pendek kata seluruh perlakuan yang terhasil dari dirinya adalh didorong oleh syaitan. Di peringkat ini fikiran mereka kusut, pegangan hidupnya hanyut dan hatinya jarang sekali mengingati Allah. Perlakuan mereka lupa pada hukum Allah dan RasulNya.

“Barangsiapa yang merasa gembira dengan kebaikannya dan merasa susah dengan kejahatan yang dilakukan, maka itulah orang mukmin” (HR: Ibnu Majah)

Sesungguhnya bagi jiwa-jiwa amarah ini, tidak pernah pun timbul di hati mereka rasa bersalah apabila mereka melakukan sesuatu maksiat, malahan mereka sering berpuas hati dan berbangga pula dengan perangai perlakuan mereka. Adalah menjadi tabii mereka, apabila mereka menerima nikmat kesenangan, mereka tidak pernah bersyukur, mereka tidak pernah puas denagn nikmat yang ada padanya, mereka tidak pernah merasa cukup dengan sesuatu yang diterimanya. Sikap tamak dan haloba untuk mengeusai sesuatu tidak habis-habis melanda diri mereka malahan sikap ini dihiasi pula dengan perasaan angkuh, sombong serta merasai dirinya serba cukup.

“Ketahuilah bahawa manusia itu melampau batas kerana dia melihat dirinya serba cukup” (Al-‘Alaq: 6-7)

Dalam konteks penerimaan ilmu, orang-orang bernafsu amarah hanya berupaya menerima ilmu diperingkat ilmu kalam. Akan tetapi pelajaran yang peling disukai oleh mereka adalah ilmu yang lebih mementingkan persoalan lahiriah untuk kehidupan duniawi. Mereka tidak begitu berminat untuk menuntut ilmu yang berkaitan persoalan dengan kerohanian, yang berhubung rapat dengan kehidupan akhirat. Sesungguhnya pada peringkat amarah ini, seseorang itu sama sekali tidak akan berpeluang menerima ilmu ghaib dan juga ilmu syahadah, selagi hatinya kotor dan tidak disabunkan dengan pembersihan zikirullah yang mempunyai wasilah bai’ah dengan Rasulullah SAW. Lantaran itu dalam usaha membebaskan diri dari kegelapan dan tersisih dari Allah SWT maka seseorang itu hendaklah menemukan jalan wasilah ilmu Rasulullah SAW (jalan tasauf) dengan menerima tunjuk ajar dari ahli zikir iaitu seorang guru yang mursyid yang dapat memberikan petua-petua yang menyucikan diri dan penyucian jiwa yang mempunyai perhubungan mata rantai dengan Baginda SAW. Perlu ditegaskan bahawasanya dengan cara berzikir sahajalah hati seseorang manusia itu akan suci dan jiwa manusia itu akan menjadi bersih. Hakikat inilah yang ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:

“Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir kepada Allah SWT. Ingatlah hanya dengan berzikir kepada Allah sahajalah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

Seperkara lagi yang perlu diterangkan, bagi seseorang yang masih dikuasi amarah, amalan zikir yang mereka buat, biasanya hanya akan melewa-lewa di bibir mulut semata-mata, ianya tidak sekali-kali sampai kelubuk hati orang yang berkenaan. Justeru itu, zikir yang dilakukan oleh golongan amarah tidak akan berupaya untuk menghancurkan lapisan ketulan darah ghaib yang menjadi hijab menutupi pancaran nur qalbun dari bahagaian lampu makrifat di hati sanubari seseorang itu. Firman Allah SWT:

“...........Mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak akan terkandung di dalam hatinya..............” (Ali’Imran: 167)

Didalam membincangkan gejala-gejala amarah ini juga, harus kita semua sedar bahawa dewasa ini amarah sedang menguasai di mana-mana sahaja kumpulan manusia. Amarah yang dirajakan juga menjadi punca kepada kegelapan hati setiap umat. Malahan kuman-kuman amarah boleh menghinggapi tubuh sesiapa sahaja. Amarah tidak mengenal sesiapa sama ada ia jahat atau baik atau ia jahil atau alim. Sesungguhnya kelemahan amarah hanya satu iaitu apabila berhadapan dengan golongan ahli zikri yang tidak berpisah dengan Allah SWT. Sesungguhnya syaitan yang menjadi dalang amarah tidak dapat berkuasa ke atas golongan ahli zikir sepertimana yang telah diceritakan oleh Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya syaitan itu telah menaruh belalainya pada hati manusia maka apabila manusia itu berzikir kepada Allah SWT maka mundurlah syaitan dan apabila ia lupa maka syaitan itu menelan hatinya” (HR Ibnu Abid-Dun-Ya).

Dengan zikir kepada Allah SWT maka hati sentiasa dekat dan tetap pada Allah SWT. Disamping Allahlah sendiri akan melindunginya dari angkara syaitan sepertimana yang dibayangkan oleh sabda Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis qudsi:

“Aku ada bersamaKu ketika dia mengingatiKu dan bergerak kedua bibirnya (untuk berzikir kepada Aku). (HR: Abu Daud).

Dengan demikian akan terlepaslah mereka dan terhindar diri mereka dari terjerumus kelembah golongan manusia yang disifatkan oleh Allah Taala di dalam firmanNya:

“Mereka telah dikuasai (diperintahi) oleh syaitan lalu dia melupakan mereka (dari mengingat Allah) mereka itulah golongan (pengikut) syaitan. Ingatlah bahawa pengikut syaitan itu merugikan” (Al-Mujaadalah: 19)

Lantaran itu jelaslah bahawa Allah SWT tidak sekali-kali tidak mengiktirafkan ahli kitab dan ahli ilmu yang tidak disertai dengan amalam zikrullah yang mempunyai wasilah bai’ah dengan Junjungan Agung Muhammad SAW. Sesungguhnya dengan gabungan amalan ilmu dan zikrullah yang digerak secara serentak sahajlah yang mampu menghasilkan sifat ketakwaan dan meningkatkan nafu serta membuangkan amarah di dalam jiwa seseorang. Sepertimana firman Allah SWT:

“………..Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisiKu ialah mereka yang paling taqwa……” (Al-Hujurat: 13)

0 comments:

Post a Comment

 
samah50 Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template