Monday, October 17, 2011

4. NAFSU MUTMAINNAH

Sesungguhnya martabat nafsu mutmainnah adalah martabat nafsu yang pertama benar-benar diredhai Allah SWT yang layak untuk memasuki syurga Allah SWT. Hakikat ini telah ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:

“Wahai orang yang bernafsu mutmainnah, pulanglah ke pangkuan Tuhanmu dalam keadaan redha meredhai oleh Nya dan masuklah ke dalam golongan hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu” (Al-Fajr: 27- 30).

Mereka yang berada di tahap ini akan merasi ketenangan dan kelapangan jiwa dan ia bukanlah satu ketenagan yang dibuat-buat. Ketenangan yang dilaluinya adalah terbit dari keimanan dan tauhidnya yang sejati. Malah bagi orang mutmainnah mereka tidak tahu atau tidak mengerti lagi apakah yang dikatakan kesenangan dan kesusahan, bagi mereka sama saja.

Bagi mereka yang telah mencapai mutmainnah maka tertanamlah di jiwa mereka amat subur sekali sifat-sifat mahmudah yang terpuji dan hilanglah sifat-sifat mazmumah yang dikeji. Sesungguhnya perasaan dengki, angkuh, sombong, tamak haloba dan lain-lain sifat yang dicela oleh Allah SWT tidak lagi tumbuh dan menyerapi di jiwa mereka mahupun di dalam kehidupan harian mereka.

“Orang-orang yang apabila ditimpa dengan suatu musibah mereka berkata (berpegang dengan sebenar-benarnya): Inna lillahi wainna ilaihi radji'un ” (Al-Baqarah: 156)

Mereka yang berada di tahap nafsu mutmainnah tidak lagi mempunyai perasaan khuatir terhadap sesuatu yang menimpa mereka. Malahan mereka sentiasa berada di dalam kegembiraan walaupun ketika itu mereka didatangi sesuatu musibah.

”Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka itu bersedih hati iaitu orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan dunia dan akhirat” (Yunus: 62 – 64).

“Ada muka (manusia) pada hari itu yang berseri-seri, tertawa dan gembira” (‘Abasa: 38 – 39).

Sesungguhnya pada peringkat mutmainnah ini, kesucian jiwa seseorang itu bolehlah disifatkan telah mencapai kesucian para solehin iaitu suatu tahap kesucian yang boleh dinilai sama dengan kesucian seorang anak kecil yang baru dilahirkan dan kesucian jiwa orang-orang mutmainnah juga bolehlah digolongkan secara hakikinya sebagai kaum yang memiliki iman dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Martabat haruslah dicapai oleh setiap orang yang menuntut keredhaan di sisi Allah SWT. Sesungguhnya inilah sebenarnya yang diseru oleh Allah menerusi firmanNya:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga menjadi tempat tinggalnya” (Al-Kahfi: 107).

Perlu ditegaskan disini bahawasanya di peringkat mutmainnah ini, sifat-sifat dan keinginan yang sebenar dalam melakukan amal ibadat kepada Allah SWT sudah menjadi keinginan semulajadi. Keinginannya untuk beramal ibadah tidak perlu lagi dipaksa-paksakan, sama ada bentuk ibadah di atas tikar sembahyang, mahupun dalam keadaan selamba di masa bekerja. Mereka inilah yang dapat menepati saranan Allah SWT dalam firmannya:

“Orang-orang yang berzikir kepada Allah SWT ketika berdiri, duduk dan waktu berbaring; dan .......................” (Ali ‘Imran: 191).

Pujian dirinya kepada Allah SWT bukan sahaja melekat di lidah, akan tetapi ingatannya itu telah dituruti oleh seluruh anggota tubuhnya. Zikirnya tetap dan bersemarak di hati serta diingatannya kepada Tuhannya berlangsung setiap masa dan ketika. Diperingkat inilah mereka telah berjaya mendapat ‘nur qalbun’ yang memancar dari bahagian bahagian bawah hati sanubari yang dipancarkan oleh lampu makrifatnya. Ketulan darah ghaib kotor lagi hitam yang menutupi pancaran nur qalbun dari lampu makrifat telah dapat disucikan menerusi amalan zikir yang selama ini diamalkannya.

Dengan amalan zikir yang dilakukannya, maka tercapailah seseorang itu ke tahap martabat kewalian yang disifatkan oleh para arifinbillah sebagai “makam wali kecil”. Secara yang lebih jelas lagi dapatlah diterangkan bahawasanya bila seseorang itu telah menduduki mutmainnah, kebaikan perangai, keelokan tingkah lakunya ketara sekali, persoalan maksiat tidak lagi timbul di hati mereka apatah lagi untuk mereka melakukannya. Hatinya sentiasa malu dengan Allah SWT untuk melakukan sebarang perbuatan keji.

“Allah pembimbing bagi mereka yang beriman yang menukarkan mereka dari kegelapan kepada petunjuk................” (Al-Baqarah: 257).

Orang yang berada di peringkat nafsu mutmainnah akan terselamat dari godaan syaitan kerana ia mendapat pertolongan dan bimbingan Allah SWT di dalam hidupnya. Sesungguhnya di peringkat inilah orang-orang mutmainnah mempunyaiu sifat-sifat yang boleh digelar sebagai “keramat”. Setiap pertuturannya tidak lagi sembarangan sesedap mulut hendak berkata. Ia juga akan mendapat bisikan hatinya yang suci. Malah sebarang geraklakunya tidak lagi sembrono.

Dalam persoalan penerokaan alam, orang mutmainnah bukan sahaja dapat menguasai ilmu qalam, akan tetapi mereka telahpun dapatmenguasai cara penerimaan ailmu Allah secara laduni di peringkat nur, tajalli, sir dan juga sirusir iaitu lebih tinggi daripada pencapaiannya di zaman mulhamah dahulu. Pembelajaran ilmu laduni yang diterimanya ilah cara ilmu Allah menerusi gabungan telinga batin dan mata basir dan ia dapat melihat sesuatu yang ghaib yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan mendengar sesuatu yang ghaib yang tidak dapat didengar oleh telinga biasa. Gambaran yang lebih mudah bagi sirusir ialah seperti televisyen atau wayang gambar. Akan tetapi seperkara yang perlu dijelaskan ialah pendengaran suara dan penglihatan gambar itu tidak akan terganggu meskipun di saat yang sama seseorang itu sedang menoleh mat zahir kearah yang lain atau menumpukan arah pendengaran telinga zahir ke arah yang lain. Dengan lain perkataan sirusir tersebut tidak sekali-kali terganggu walaupun dalam keadaan apa sekalipun.

Di samping itu juga, di peringkat ini, mereka telah dapat menerima suatu pandangan, suatu pendapat dan ijtihad orang lain walaupun ianya kadang-kadang terkeluar jauh dari daya dan tahap pemikiran manusia biasa. Keyakinan mereka terhadap Allah dan berita-berita ghaib yang ditemuinya bukan sahaja dapat diyakininya pada tahap ilmul-yakin, malahan telah dapat berpegang pada tahap ainul-yakin dan haqqul-yakin. Sesungguhnya keyakinan mereka telahpun dapat menduduki apa yang disifatkan oleh Allah menerusi firmanNya:

”Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu keyakinan” (Al-Hijr: 99).

Perlu diingatkan, mereka yang berada pada nafsu ini akanmengalami suatu yang bernama ’fana’. Diperingkat ini biasanya mereka mengalami fana qalbi iaitu lebih merupakan penafian diri ataupun menafikan maujud dirinya dan diisbatkan kepada wujudnya Allah SWT semata-mata.

”Semua yang ada adalah fana (tiada wujud hakikinya). Dan yang baqa itu adalah wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan” (Ar-Rahman: 26-27).

NAFSU MUTMAINNAH

Fana qalbi ini timbul setelah seseorang itu memahami akan hakikat ketuhanan serta merasakan dengan seluruh perasaannya tentang kebenaran hakikat ketuhanan yang mempunyai cangkutan yang rapat dengan persoalan kholaknya diri mereka sendiri di alam maya ini serta jelasa dan fahamnya mereka tentang tujuan sebenar kezahiran dirinya itu sendiri. Bila mereka sebenarnya memahami dan menyakini hakikat ini, maka timbullah perasaan halus di hatinya yang menghasilkan sesuatu bentuk penafian maujud dirinya sendiri dan diisbatkan kepada nyatanya Allah SWT pada zahirnya, pada batinnya, pada awalnya dan pada akhirnya. Hakikat inilah nyata pegangan mereka pada martabat dan makam sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT:

“Dialah yang awal, Dialah yang akhir, Dialah yang zahir dan Dialah yang batin, dan Dia Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu” (Al-hadiid: 3).

Dengan demikian lahirlah perasaan gelora cinta semacam kekasih yang jauh menjelma di hadapan mata, namun begitu peringkat fana qalbi keadaan sebegini tidaklah kekal dan hal yang berlaku lebih bersifat sementara.

Sesuangguhnya bagi mereka yang telah berjaya bertapak di martabat mutmainnah ini, tidaklah seharusnya mereka berpuas hati dengan syurga yang bakal diperolehinya, sedangkan Rasulullah SAW yang dijaminkan syurga tetap meneruskan amal ibadah dan kebaktian kepada Allah SWT. Baginda tetap berzikir kepada Tuhannya, menyucikan dirinya (sedangkan umum mengetahui baginda SAW maksum dari dosa) dengan zikir dan istighfar yang berpanjangan. Oleh itu, bagi manusia biasa walaupun telah sampai ke martabat mutmainnah, namun mereka mestilah berusaha lagi, beramal dengan petua yang diberi oleh gurunya sehingga tercapailah pula martabat nafsu yang lebih mulia iaitu martabat nafsu Radhiah.

2 comments:

Idris on January 17, 2016 at 2:47 PM said...

Jangan tinggal Wirid , akan mendapat warid. Bila mendapat warid secara automatik nafsu akan meningkat ke tahap yang lebih baik.

anuar on April 29, 2019 at 11:06 AM said...

Terima kasih tuan

Post a Comment

 
samah50 Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template