Monday, October 17, 2011

7. NAFSU KAMALIAH

setelah mereka bertungkus lumus dengan mardhiah mereka terus beramal dengan mematuhi petua guru mereka baik guru zahir mahupun guru ghaib. Sesuangguhnya nafsu kamaliah ini adalah martabat nafsu tertinggi yang dapat diterokai oleh manusia. Ia juga menjadi matlamat dan cita-cita setiap orang yang menyucikan dirinya dengan Allah SWT.

”Sesungguhnya yang beriman dan beramal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk” (Al-Bayyinah: 7)

Kesucian yang berlaku pada mereka diisi dengan sifat-sifat mahmudah. Setiap perlakuannya tetap berlandaskan kehendak Allah dan RasulNya dan ia mendapat keredhaan Allah SWT. Pencegahan kepada perlakuan hawa nafsu dan syaitan secara automatik terhalang.

”Dan adapun orang-orang yang takut (sampai ketahap makrifat) di makam Tuhannya dan dia (pasti) menahan dirinya dari mengikuti kehendak nafsu” (An-Naazi’at: 40)

”Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan pekerjaan keji) dengan Yusuf, dan Yusuf juga bermaksud (untuk melakukannya) seandainya di tidak melihat tanda Tuhannya. Demikianlah, agar Kami memalingkan (mendidingkan) daripada kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hambu Kami yang mukhlisin” (Yusuf: 24)

Begitulah Nabi Yusuf a.s terselamat dari melakukan perlakukan yang teramat keji dengan Zulaikha. Kerana Allah SWT sentiasa mengawasi beliau dan mendapat perlindunganNya.

Yakinlah, sekiranya Nabi Yusuf a.s tidak mendapat pencegahan secara automatik, sudah pastilah beliau akan melakukannya. Begitulah bagi mereka yang telah mencapai ke martabat kamaliah ini, pasti akan terhasil pada dirinya suatu sistem pencegahan maksiat secara automatik pada dirinya. Maha Suci Allah yang menolong hamabNya yang dikasihi.

Mereka yang mencapai tahap ini telah dapat menggabungkan secara kamil diantara hakikat Allah dan hakikat Muhammad pada diri mereka. Maka sebarang kelakuan yang dilakukan oleh antara diri batin dan diri zahirnya adalah sama, tiada berbeza walaupun hakikinya serta pula tidak bercerai tanggal antara satu sama lainnya. Sesungguhnya setiap perlakuan yang terbit dari diri kamaliah adalah tetap diradhai oleh Allah SWT. Keredhaan boleh dilihat secara spontan dan terbukti secara spontan juga. Keadaan inilah yang dimaksudkan makam ”kun fayakun” ertinya, kata sahaja pasti terjadi secara spontan.

Adapun yang dimaksudkan dengan kamaliah ini ialah keadaan yang berkamil sepenuhnya atau bersebatinya kelakuan diri zahir dengan kelakuan diri batin dalam konteks hubungan dirinya dengan Allah SWT di dalam perjalanan hidupnya seharian. Ia telah dianggap manusia yang mencapai kedudukan dirinya pada tahap yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran :

”Sesungguhnya orang-orang yang taqwa pada makam Aman” (Ad-Dukhaan: 51)

Mereka inilah yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai khalak yang paling mulia dan merupakan manusia yang lebih dicintaiNya daripada pada malaikat yang maksum dari dosa. Hakikat ini secara jelas diterangkan oleh Allah SWT dalam sebuah hadis qudsi:

”Hamba-Ku yang mukmin adalah lebih Kucintai dari para malaikatKu” (riwayat: Tabrani)

Hakikat ini sebenarnya adalah akibat daripada berjayanya orang-orang kamaliah memiliki sesuatu yang bernama ilmu syahadah. Sesungguhnya setiap orang yang berjaya menyucikan dirinya sampai ketahap kamaliah ini, sudah pasti ianya berkeupayaan menerima ilmu syahadah yang merupakan tingkatan ilmu yang paling tinggi daripada kurikulum ilmullah yang dapat diterokai oleh manusia termasuklah para rasul dan para nabi. Sesungguhnya ilmu syahadah tidak lagi berkeupayaan untuk diajar oleh guru zahir mahupun guru ghaib. Ia hanya boleh diajar oleh Tuhan sendiri. Sesungguhnya pengajaran ilmu syahadah menerusi cara iinilah yang dinamakan cara pembelajaran melalui guru batin.

”(Allah) yang tinggi darjat, lagi mempunyai ’arasy. (Dia) turunkan wahyu dengan perintahNya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, supaya Dia memberi peringatan dengan hari pertemuan (kiamat)” (Al-Mukmin: 15)

Imam Ghazali di dalam kitabnya menegaskan bahawa penerimaan ilmu di peringkat ini adalah sama tarafnya dengan pernerimaan ilmu oleh para nabi dan para rasul. Lantaran itulah Imam Ghazali menjelaskan bahawasanya ilham dan ilmu mukasyafah yang diterima oleh seseorang manusia biasa yang kamil adalah tidak lain dan tidak bukan adalah sama dengan apa yang diistilahkan sebagai ”wahyu” semuanya adalah datang terus dari Allah SWT. Ia diibaratkan bagai kata orang, mati bagi orang awam, mangkat bagi raja. Makan bagi orang awam, santap bagi raja. Tidur bagi orang awam, beradu bagi raja. Mandi bagi orang awam, bersiram bagi raja. Pokok tujuan rasa adalah sama bagi yang benar-benar arif dengan ilmu dan mengetahuinya. Apabila seseorang itu mencapai tahap ini, maka pecahlah segala perbendaharaan yang ghaib, terbongkarlah segala rahsia dan tercapailah makam seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:

”Yang mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seseorang pun tentang yang ghaib itu kecuali pada Rasul yang diredhaiNya” (Al-Jin: 26-27)

Sabda Baginda Rasulullah SAW: ”Bahawasanya dari golongan umatku ada orang-orang yang mendapat ilham (ilham mukasyafah) dan orang yang diajar dan orang yang diberitahu (secara langsung oleh Tuhannya). Dan Umar adalah salah satu dari mereka (riwayat: al Bukhari & Muslim)

Sesungguhnya soal pengetahuan ghaib ini bukan sahaja hanya dikhaskan oleh Allah kepada Rasul dan nabi sahaja, malah ia juga adalah untuk sesiapa saja yang memiliki kesucian dan cerah mata hatinya.

”Yang demikian Kami perlihatkan kepada Ibrahim kerajaan langit dan bumi” (Al-An’aam: 75)

Imam Al ghazali menjelaskan bahawa anugerah yang dimaksudkan oleh ayat di atas bukan sahaja untuk Nabi Ibrahim as sahaja, tetapi terbuka untuk sesiapa yang memiliki mata basir serta sampai pula ke martabatnya. Ia menjadi tanggungjawab bagi mereka yang menduduki martabat nafsu kamaliah ini kembali semula ke martabat awal mukmin iaitu tahap martabat nafsu muthmainnah. Mkereka tidak harus tinggal di martabat nafsu kamaliah, mereka harus bersikap seperti orang biasa. Berumahtangga dan sebagainya serta menjadi khalifah di alam maya ini. Tetapi jiwanya, ingatannya dan kemesraannya dengan Allah SWT tetap kekal di makam bakabillah sehingga darjat ketinggian dirinya di sisi Allah SWT teramat payah untuk dicam oleh orang ramai. Yakinlah bagi mereka yang telah dapat memiliki sifat mahmudah yang dimiliki oleh tingkatan-tingkatan nafsu sebelumnya. Gambaran ini dapat dijelaskan dalam kitab Minhajul Abidin, terjemahannya: ”Peliharalah baik-baik hubunganmu dengan Allah SWT, pasti engkau menemui Allah dan akan bertemu dengan Allah SWT ke mana saja engkau pergi.”

Lantaran itu, mereka di martabat kamaliah ini sudah pasti akan tergolong di dalam golongan orang yang dirindui Allah SWT pada setiap masa dan setiap ketika. Ingatannya kepada Tuhannya tidak pernah terputus.

”Apabila hambaKu mengingatiKu sendirian, Akupun mengingatinya sendirian. Dan apabila dia mengingatiKu di hadapan khalayak ramai, nescaya Aku akan mengingatinya pula di khalayak yang lebih baik daripada khalayak ramai yang dia mengingatiKu” (riwayat: Tabrani)

0 comments:

Post a Comment

 
samah50 Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template